Tuesday, August 11, 2009

ilham entah dari mana...

Suasana sekitar tak banyak beza seperti hari-hari sebelumnya. Tadi kat situ juga dia berdiri. Memandang dari kejauhan sekumpulan merpati terbang rendah. Dah macam kat Paris gayanya. Kemudian dia melangkah beberapa tapak ke depan, gerak hati mahu menyusuri lorong sebelah kiri tu. Kurang orang yang lalu lalang kat situ. Mungkin sebab lorong pejalan kaki yang disediakan lebih selesa, kedudukannnya pun selamat dan ramai orang menyebabkan lorong yang dia lalui itu agak sunyi. Dia melilau. Langkah berjaga-jaga.

Sekejap lagi lunch time, waktu puncak di bandar ni. Dia mempercepatkan langkah. Hujung lorong tu bangunan lama, kat sebelah kanan pulak kawasan kedai bangunan zaman kolonial. Dan tabik pada peniaga kat situ sebab masih boleh survive walaupun banyak pasaraya besar dah dibina di kawasan lebih strategik. Mungkin pelanggan tetap banyak membantu. Kesetiaan yang dah lama wujud antara mereka. Orang kata tolong kawan.

Tiba-tiba, dia berdiri kaku. Mata difokuskan ke arah sebuah kereta Mazda lama di tepi bangunan lama itu. Tak ada apa yang pelik cuma hatinya rasa sesuatu. Dia memberanikan diri mendekati kereta tak berorang itu. Dalam hati masih ada rasa sangsi, sekadar berjaga-jaga. Manalah tahu tiba-tiba ada yang menyergah, mahu pengsan terkejut dibuatnya.

Dia meninjau di dalam kereta. Seat penumpang ada kotak-kotak sederhana besar. Seat pemandu nampak biasa saja. Cuma kelihatan banyak kertas bertaburan di lantai bahagian seat penumpang depan.

“Woi! Tengok apa tu?” Satu suara menerjah di telinga. Memetir.

Dia tak tunggu lama terus pecut tak toleh belakang lagi. Tercungap- cungap dia berlari. Berhenti di celah-celah kedai lama. Ambil nafas. Tarik lepas. Tarik dalam dan lepas. Lega sedikit.

Dahsyat ni. Tak pernah berlari macam ni punya laju. Ni kesan hormon ‘takut’ ni. Dia geleng kepala. Lepas ni tak payah nak sibuk-sibuk halo rang nanti jadi lagi macam ni. Peh.

Dia meneruskan langkah. Tujuan asal mahu ke Plaza Bintang di Jalan Damai. Dia mahu mencari USB untuk modermnya. Dah lima hari tak dapat online. Rasa sebal saja. Nak marahkan siapa. Mana ada orang yang yang tahu hal IT macam tu. Anggap saja dah sampai expired date, barang mana boleh tahan lama sangat. Macam manusia akan mati juga nanti.

Kejadian kereta tadi terus di hambat keluar dari otak. Tak ada faedahnya nak difikirkan. Nasib baik tak tertangkap dan dituduh mahu mencuri. Buat menyusahkan polis saja nak uruskan hal tu. Ish, nak juga dia jadi warga yang berguna, menyumbang bukan menambah susah orang lain.

Sebenarnya dia lagi bimbang kalau nanti dia akan buat malu ayahnya saja. Semua orang tahu ayanhnya pegawai polis berpangkat dan dikenali di cawangan sekitar bandar itu. Tapi tak semua orang tahu dia anak lelaki DSP Zahari.

Dia yang paling nakal dalam keluarganya. Dia yang paling rendah level pendidikannya. Dia itu umpama kambing hitam. Semua yang buruk-buruk tu dapat kat dia. Yang elok-elok dapat kat Alongnya. Kadang-kadang Achiknya. Usu juga tak bias. Ibu pun tak bias. Ibu sayang semuanya.

Kadang-kadang ayah tak adil di rumah, walaupun di luar dialah yang paling betul. Maklumlah Mesra, Cepat dan Betul. Ayah tak pernah nak sama ratakan apa saja lagi-lagi kalau melibatkan dia. Apa kalau dia tak bijak, dia haruskan disisihkan. Ayah, aku anakmu juga. Dia merintih. Tapi apa dia boleh buat dia sedar kekurangannya.

Kadang dia sampai terfikir dia bukan anak betul dari keluarga itu. Tapi kata Aki Andak, tok imam surau yang selalu dia solat tu cakap anak itu amanah, banyak dugaan menjaga amanah itu. Nah, ayah. Aki pun cakap ayah tak boleh buat macam tu pada amanah. Ayah juga harus beramanah bukan pada kerja polisnya tapi pada anak amanah dari Tuhan itu. Lagi besar amanah ayah. Ayah saja tak mahu sedar agaknya padahal ayah hormatkan Aki macam ayah hormat tabik pada Atok. Sebab Atok dulu Jeneral Tentera Darat ke ayah? Entah dia malas mahu fikir soalan yang tak ada jawapan dan kalau dia sungguh nak tahu nanti-nantilah.

Tapi ayah tak kedekut pula kalau dia mahukan sesuatu. Yang itu ayah tak pernah pilih kasih nak bagi duit pada anak bininya. Mungkin hal yang itu ayah sedia maklum tanggungjawabnya. Mesti beri nafkah pada keluarga tanpa lewa. Ayah bagus soal itu. Sebab tu ayah naik pangkat cepat agaknya. Bertanggungjawab dan berdisiplin.

Dia kena cepat. Lepas dapat barang itu, dia mahu segera ke Taman Tema Anggerik. Shif kerjanya semakin hampir. Dah setahun dia kerja di taman tema itu. Sejak lepas habis sekolah. Dia tak mahu sambung belajar. Sebab dia belum pasti mahu belajar apa, dia mahu fikir dulu. Tengok demand market semasa dan akan datang. Macam berniaga juga. Dia tak mahu terkoncoh-koncoh menyambung pelajaran sebab dia tak mahu buang masa kalau salah bidang. Biar dia cari pengalaman dulu. Tak ada salahnya belajar lewat usia sedikit dari orang lain janji dia belajar harus lebih baik dan praktikal untuk hidupnya.

3 comments:

apa-apa yang kamu suka